Lima dekad yang lalu
menyusun sintaksis demi satu anugerah
bukan tempik, tapi tuntut
bersandar pada maruah bangsa
berpaksi pada kecintaan tanah tumpah
merdeka kita dambakan.
Lima dekad merangkak pergi
para pimpinan datang dan pergi
menitis jasa, mengalirkan bakti
nikmat mega kita kecapi
cahaya kemajuan terus dicari
moga terpancar ke segenap negeri.
Lima dekad berlalu pergi
tunas harapan masih tercari-cari
terus leka dan terpinga-pinga tidak mengerti
merakus nikmat yang bukan abadi
membina kealpaan tanpa disedari
mencalar dan memamah jati diri.
Salahkan kita merdeka?
Merdekakah kita?
Merdekakah Kita? Suatu persoalan yang cukup menggambarkan keadaan masyarakat Malaysia kini. Adakah kita benar-benar merdeka? Merdeka KINI hanya suatu laungan yang tidak dilahirkan dari hati tetapi hanya dilafazkan dengan lidah. Kita tidak merdeka selagi jiwa kita tidak merdeka.
Baru sahaja beberapa minit yang lepas, Aika menonton Buletin Utama di saluran TV3 yang memaparkan sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka yang penuh gilang gemilang. Tidak kurang hebatnya juga sambutan di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Perak.
Namun demikian, sejurus selepas paparan berita tersebut, rakyat Malaysia dipaparkan dengan refleksi mentaliti kelas ke-3. Sikap kebanyakan rakyat Malaysia cukup jelas membuktikan dakwaan Perdana Menteri bahwa rakyat Malysia hanya menikmati infrastruktur kelas pertama tetapi masih mempunyai mentaliti kelas ketiga adalah tidak dapat disangkal sama sekali. Buktinya, sampah sarap yang berlonggok-longgok dibuang di merata-rata tempat selepas sambutan ambang kemerdekaan malam kelmarin bertempat di Dataran Merdeka. Begitu juga Jalur Gemilang yang begitu gah dikibarkan ketika melaungkan merdeka, dibiarkan begitu sahaja menyembah tanah. Apa yang menghairankannya, orang ramai hanya lalu-lalang sahaja tanpa menghiraukan Jalur Gemilang tersebut. Aika bersetuju dengan kata-kata pemberita TV3 sebentar tadi bahawa "kita marah apabila melihat Jalur Gemilang dibakar, tetapi rakyat sendiri memijak-mijak Jalur Gemilang tersebut." Bak kata pepatah 'kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak'.
Nampaknya usaha kerjaan Malaysia bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang masih mendapat sambutan yang hambar. Generasi muda kini alpa dan leka. Sedarlah dan Insaflah bahawa kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah titik peluh pejuang bangsa yang telah separuh nyawa berjuang mendapatkan kemerdekaan. Kita kini terlalu HIPOKRIT! Tepuk dahi tanyalah minda...
ADAKAH KITA BENAR-BENAR MERDEKA?
Bangkitlah wahai anak bangsaku.. Perjuangan ini masih belum selesai!
No comments:
Post a Comment