Friday, August 17, 2007

ex-kolejian: Graduan UTM penerima phD termuda.

BERITA HARIAN-16/082006

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh seminggu, rekod Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melahirkan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) termuda negara, akan dipecahkan apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan Majlis Konvokesyen ke-39 di Johor Bahru, esok.

Pada majlis itu, Dr Sharifah Rafidah Wan Alwi, 25, akan dianugerahkan ijazah PhD, sekali gus mengatasi rekod Siti Norasmah Surip, 26, yang menerima ijazah sama pada konvokesyen UKM minggu lalu.

Sharifah Rafidah, anak kedua daripada empat beradik dilahirkan pada 10 Oktober 1981 di Bintulu, Sarawak dan memulakan persekolahan menengah dari 1993-1998 di Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Mara Banting, Selangor sehingga 2000.

Beliau kemudian mengikuti pengajian di University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan tamat pada 2003. Beliau diterima menjadi tutor di UTM dan melanjutkan pengajian di universiti itu pada peringkat sarjana.

Disebabkan pencapaian cemerlangnya pada tahun pertama pengajian sarjana, UTM bersetuju menaikkan status pengajian beliau ke peringkat PhD pada 2005. Dr Sharifah Rafidah berjaya menamatkan pengajiannya pada Mac 2007.

Beliau sudah menerbitkan lima majalah yang terbit dalam jurnal antarabangsa, tiga artikel majalah antarabangsa, satu jurnal kebangsaan, satu majalah kebangsaan, dua persidangan antarabangsa, tiga persidangan kebangsaan dan tiga paten yang difailkan.

Sharifah Rafidah juga berjaya meraih pelbagai anugerah seperti perkhidmatan cemerlang 2006 (cuti belajar); Pingat Emas Ekspo IPTA mengenai penyelidikan dan pembangunan 2005; juara Pertandingan Rancangan Perniagaan MSC-IHL, 2005; juara Pertandingan Rancangan Perniagaan UTM-Mara-MDC, 2005; Pingat Perak Ekspo Sains & Teknologi 2004 dan Pingat Perak Inatex 2004.

Sharifah Rafidah kini dilantik pensyarah kanan (gred DS51). Beliau juga aktif menjalankan pelbagai projek penyelidikan menerusi geran penyelidikan yang diperoleh menerusi dua geran E-sciencefund Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan dua geran pengkomersialan.

No comments: