Friday, August 31, 2007

Jangan Biar Hasad Dengki, Tamak Jajah Minda Rakyat.

HARI ini genaplah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dan kita bersyukur kerana sekali lagi rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat menyambut tarikh keramat 31 Ogos dalam suasana aman, makmur dan gemilang. Berkat permuafakatan dan kebijaksanaan pemimpin serta kegigihan dan sikap tolak ansur rakyat, membolehkan kita mengecapi kejayaan dan pencapaian yang boleh dibanggakan dalam setengah abad ini.

Adakah kita sebagai individu sudah benar-benar merdeka daripada belengu pemikiran, sikap dan tindak tanduk yang pernah menyebabkan tanah air ini dijajah 500 tahun dahulu?

Melaka sebelum dijajah Portugis merupakan sebuah empayar disegani sebagai pusat perdagangan dunia.
Walau bagaimanapun disebabkan perasaan hasad dengki, tamak, fitnah dan amalan buruk pemimpin dan rakyatnya, Kesultanan Melayu Melaka bukan sahaja terus terkubur, malah anak cucunya menjadi bangsa jajahan selama lima abad. Justeru, dalam merayakan pencapaian negara selama ini, kita harus mengimbau sejarah dan mengambil ikhtibar agar tidak mengulangi kesilapan serta terus melangkah megah 50 tahun akan datang. Harga sebuah kemerdekaan bagi generasi sebelum merdeka, terutama pejuang kebebasan negara berbeza dengan generasi selepas merdeka.

Penghayatan kemerdekaan dua generasi berbeza ini, dikhuatiri semakin menipis. Hakikat bahawa sebahagian besar sambutan ulang tahun yang digerakkan oleh kerajaan cukup menggambarkan keadaan ini. Penyertaan swasta yang semakin ketara turut mrnjadi persoalan. Adakah hal ini didorong atas dasar kepentingan perniagaan atau sukarela? Begitu juga pengibaran Jalur Gemilang sebagai langkah paling asas untuk menunjukkan semangat patriotik. Di kawasan menengah dan mewah pula iaitu golongan yang paling beruntung hasil kemerdekaan negara, sepi dengan kibaran bendera dan keceriaan sambutan.

Namun begitu, kita tidak boleh menyalahkan generasi selepas merdeka sekiranya mereka tidak menghayati erti perjuangan sebenar dan erti keperitan hidup sewaktu Tanah Melayu berada dalam zaman penjajahan. Generasi kini ialah produk zaman moden yang lengkap dengan kemudahan sehingga ada yang menganggap kemerdekaan hanya satu simbolik perayaan untuk mengingati suatu detik sejarah. Justeru pendedahan mengenai sejarah negara seharusnya bermula dari peringkat akar umbi lagi. Subjek Sejarah perlu diberi keutamaan seperti subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Jika penguasaan dalam bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris dapat melahirkan generasi yang mampu bersaing pada peringkat global, pemahaman mengenai sejarah tanah air akan memberikan mereka jati diri dan semangat patriotik yang kental tanpa mengira keturunan. Kita percaya modal insan mampu mempertahankan kemerdekaan negara selamanya. Dirgahayu Malaysia Gemilang.

Sumber: Berita Harian-31 Ogos 2007

(diubah suai oleh Nurhaziqah Norani)

No comments: