Friday, August 31, 2007

Ambang Merdeka

BERITA HARIAN
5O Tahun dan Terus Maju
Oleh: Azman Zakaria, Abdul Halim Yusoff dan Mohd Azis Nga

KUALA LUMPUR: Laungan keramat ‘merdeka’ bergema di seluruh negara tepat jam 12 malam tadi, menggambarkan semangat membara rakyat pelbagai kaum dan agama meraikan detik bersejarah Hari Kebangsaan ke-50.

Di Dataran Merdeka, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengetuai lebih 200,000 rakyat melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali sebaik Jalur Gemilang dikibarkan.

Sambutan Ambang Merdeka itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kemerdekaan Negara ke-50, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) lain.

Ribuan rakyat yang membanjiri Dataran Merdeka seawal jam 6.30 petang, sebelum itu disajikan pertunjukan pencahayaan visual grafik pelbagai corak dan tema diiringi lagu patriotik selama dua jam mulai 8.30 malam.

Pada jam 10.30 malam pula, segmen menjelang kemerdekaan bermula dengan persembahan video rentetan rombongan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London sehingga perisytiharan kemerdekaan di Melaka. Ketika video dimainkan, semua bangunan di sekeliling Dataran Merdeka bermandikan cahaya berwarna warni.

Dalam ucapan penuh bersemangat yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, Perdana Menteri mahu GENERASI MUDA terus mempertahankan kemerdekaan dan menangkis sebarang ancaman yang mahu menggugat perpaduan rakyat.

“Seluruh rakyat mesti menjaga keharmonian dengan sentiasa mengamalkan semangat muhibah bagi menangkis sebarang ancaman yang mahu menggugat perpaduan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan semangat perpaduan yang kukuh serta berbekalkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran saja membolehkan negara menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan.

“Ini persediaan untuk bawa bangsa ke masa depan yang lebih gemilang... kita mahu setiap rakyat selamat daripada apa-apa kebimbangan, tak takut dan tak bimbang dipencilkan.

“Di bawah kerajaan BN, kita mahu sentiasa memastikan negara ini aman dan selamat untuk semua,” katanya sambil menjelaskan kini menjadi tanggungjawab rakyat untuk mengisi kemerdekaan supaya kemerdekaan itu benar-benar bermakna untuk bangsa dan negara.

Pada masa sama, Abdullah memberi jaminan kerajaan akan terus berpegang teguh kepada konsep keadilan dan kesaksamaan serta memastikan kesejahteraan dan kemakmuran dinikmati semua rakyat.

Beliau berkata, kerajaan sejak dulu lagi mengamalkan konsep perkongsian kuasa yang mementingkan pendekatan musyawarah dan pemuafakatan dalam perjuangan.

Malah, katanya, kemerdekaan negara diperjuangkan secara bersama oleh semua warga pelbagai kaum dan kejayaan Malaysia selama ini juga terbina atas usaha bersama berteraskan semangat perpaduan, persaudaraan dan muhibah.

Beliau berharap budaya dan pendekatan itu dijiwai generasi muda sekarang termasuk dalam menangani sebarang isu yang boleh membawa kesusahan, kekeliruan atau ketegangan sesama rakyat.

Perdana Menteri berkata, rakyat mesti sentiasa bersatu dan berusaha untuk satu masa depan yang dikongsi bersama.

Abdullah juga mengajak rakyat bersyukur kerana memiliki barisan pemimpin yang berwawasan jauh dan ikhlas membangunkan negara bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman dan diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak.

Kedua-dua pemimpin terawal negara itu mendapat sokongan penuh oleh tokoh, seperti Allahyarham Tun Dr Ismail, mendiang Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan, manakala pembangunan negara pula diteruskan di bawah pimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn dan ditingkatkan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Abdullah yang tiba di Dataran Merdeka pada jam 11.45 malam, diberi sambutan dalam suasana menyamai ketibaan Tunku 50 tahun lalu di tempat sama, yang dulunya dikenali Padang Kelab Selangor.

Perdana Menteri diiringi 300 Ahli Perikatan Bermotosikal mewakili anggota Umno, MCA dan MIC yang berpakaian serba putih serta tujuh Polis Pengiring.

Suasana bertambah meriah apabila lampu sorot difokuskan ke arah kereta yang dinaiki Perdana Menteri dan pada masa sama pancaran laser bergerak mengikut irama lagu.

Suasana bertukar senyap seketika apabila ribuan yang hadir bertumpu kepada menara jam di Bangunan Sultan Abdul Samad selepas lampu di seluruh dataran itu dipadamkan, diikuti kiraan detik menjelang 12 malam.

Sebaik menara jam mengalunkan detik 12 malam, lampu dipasang semula dan secara simbolik bendera Union Jack diturunkan.

Pemuda BN diketuai Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kemudian menaikkan Jalur Gemilang dan serentak itu lagu Negaraku berkumandang, diikuti laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Perdana Menteri dengan disambut teriakan penuh bersemangat seluruh hadirin.

Peristiwa itu dizahirkan dengan doa oleh Ahli Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail bagi memohon keberkatan dan rahmat Allah supaya kemerdekaan terus dinikmati rakyat selama-lamanya.

Sambutan Ambang Merdeka berakhir penuh semangat apabila semua hadirin menyanyikan rangkaian lagu patriotik, antaranya Malaysia Berjaya, Malaysia Merdeka, Tanggal 31 dan Malaysiaku Gemilang, disusuli persembahan bunga api dan laser penuh warna-warni.

No comments: