Bulan suci yang telah kita tinggalkan tahun lalu dengan penuh pengabdian dan keazaman sebagai seorang Muslim yang benar-benar menyerah, tunduk patuh kepada-Nya kini telah menjelang tiba. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan umur yang setahun lebih panjang dengan mengurniakan kita sekali lagi Ramadhan, untuk kita menyucikan diri, menambahkan keimanan dan mempersiapkan kekuatan dan bekalan hidup untuk kebahagiaan dunia dan adkhirat.
"Allahumma Ballighna Ramadhan."
BAGAI tetamu istimewa, Ramadan mengunjungi dengan membawa perkhabaran dan jaminan bahawa sesiapa dalam kalangan hamba Allah melaksanakan segala bentuk ibadat dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan memperoleh keampunan, keredhaan serta rahmat-Nya. Ramadan juga membawa nilai penting yang jarang sekali kita sedari, bahawa bulan ini menjelmakan detik waktu bernilai yang tiada tolok bandingnya berbanding waktu lain. Hari ini, ke mana saja melangkah pasti kita mendengar bicara mengenai kemuliaan Ramadan, peristiwa penting berlaku dalam bulan itu di mana dibuka pintu kebaikan dan tertutup pintu kejahatan bagi mereka yang takut akan kemurkaan-Nya.
“Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan Fardhu, seolah-olah dia telah mendapat 70 pahala Fardhu di bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan amalam-amalan Sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan-amalan Fardhu di bulan-bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar. Ia adalah bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari Neraka…”
(Riwayat Ibn Khuzaimah)
Wahai muslimin dan muslimat,
Bulan Ramadhan kali ini, marilah kita sama-sama mensucikan diri daripada dosa dan mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan amal ibadah kita kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya, bulan ini merupakan suatu rahmat dan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah kepada ummat Nabi Muhammad S.A.W.
"Ya Allah, ya tuhanku, sinarilah hatiku dengan Nur-Islam,
Bentengilah aku dengan kemantapan Nur-Iman,
Tunjukkanlah aku jalan yang lurus,
Serta sinarilah jalanku dengan Nur-HidayahMU"
No comments:
Post a Comment